Berita Utama

Anggota polis salah guna aset kerajaan dikenakan tindakan

Tak layak naik pangkat, potong emolumen, tangguh kenaikan gaji

KUALA LUMPUR, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Beberapa pegawai dan anggota polis yang didapati menggunakan aset kerajaan seperti kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kepentingan peribadi telah diambil tindakan termasuk tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 melibatkan prosiding tatatertib.

“Antara hukuman lain yang dikenakan ialah diberikan amaran, memotong emolumen dan menangguhkan kenaikan gaji.

“Mereka juga tidak layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat dan menghadiri kursus-kursus rasmi jabatan dalam satu jangka masa tertentu sehingga tamat masa yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya ada menerima rungutan daripada anggota-anggota polis berhubung dakwaan pegawai yang menyuruh mereka melakukan urusan peribadi seperti menghantar isteri pegawai ke pasar menggunakan kenderaan PDRM.

Zamri memaklumkan, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pegawai atasan berhubung perkara itu.

Menurutnya, ini kerana rungutan mengenai perkara itu dibuat secara umum dan tidak dinyatakan secara khusus pegawai yang terlibat.

“Sesiapa yang terlibat kita minta supaya berhenti melakukan perkara ini dan sesiapa yang menjadi mangsa mohon buat laporan secara khusus,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai polis yang terlibat mengerah anggota bawahan untuk melaksanakan urusan peribadi.

Zamri dalam satu sidang media pada Selasa lepas dilapor berkata, terdapat segelintir pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan antaranya salah guna kuasa, bergaduh dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa bertugas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button