Berita Utama

BERJASA ucap takziah insiden 4 gadis lemas karbon monoksida

Mendoakan semoga keluarga, sahabat mangsa tabah hadapi ujian

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat sahabat yang keracunan gas karbon monoksida, semalam.

Turut berdukacita dengan insiden itu, BERJASA dalam satu kenyataan mendoakan keluarga serta rakan mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian itu.

“BERJASA dengan rasa duka cita ingin menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan empat mangsa tragedi lemas terhidu gas karbon monoksida ketika berehat dalam kereta dalam perjalanan pulang dari percutian semalam.

“Kami mendoakan semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian besar ini,” katanya.

Dalam kejadian tengah malam itu, tiga sahabat maut manakala seorang kritikal selepas dipercayai lemas gas karbon monoksida ketika sedang berehat di dalam kereta MPV jenis Honda Odyssey di sebuah stesen minyak di Samagagah, Butterworth.

Terdahulu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi semalam.

Sementara, Nor Adilah Mohd Safwan, 21, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Lumut kira-kira 4.20 petang semalam, manakala adik kembarnya Nor Aqilah dilapor kritikal dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kesemua mereka dilaporkan berhenti berehat di stesen minyak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button