Kes COVID-19 terus meningkat di negara Arab
Iraq catat kes kematian, jangkitan baharu tertinggi
ISTANBUL, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara Arab mengesahkan pertambahan kes jangkitan baharu dan kematian akibat pandemik COVID-19, lapor Agensi Anadolu.
Kementerian Kesihatan Iraq dalam satu kenyataan berkata, 84 kes kematian direkodkan semalam, dengan 4,326 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.
Pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 307,385 kes termasuk 8,332 kematian dan 241,400 kes pulih sepenuhnya.
Di Arab Saudi, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan 30 kematian dan 593 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.
Daripada itu, jumlah jangkitan terus meningkat kepada 338,144 orang termasuk 4,399 kematian dan 307,207 kes pulih.
Sementara itu, 13 kematian dan 557 kes baharu direkodkan di Oman.
Kementerian Kesihatan negara Teluk itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah kes kini meningkat kepada 91,753 dengan 409 kematian.
Di Libya, Pusat Pengawalan Penyakit Kebangsaan mengesahkan, 11 kematian dan 886 pesakit disahkan positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir.
Katanya, jumlah kes kini mencecah 25,822 dengan 409 kematian dan 13,908 kes pulih.
Kementerian Kesihatan Kuwait pula mengesahkan empat kematian setiap hari, dan 825 kes jangkitan baharu.
Kes jangkitan di Kuwait meningkat kepada 97,824, dengan 575 kematian dan 87,911 kes pulih.
Dalam pada itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masing-masing mengesahkan 786 dan 244 jangkitan baharu, tanpa sebarang kematian semalam.
COVID-19 telah meragut lebih 942,000 nyawa di 188 negara sejak ia merebak di China pada Disember tahun lalu.
Amerika Syarikat (AS), Brazil dan India adalah negara yang paling teruk terjejas. – Agensi