Berita Utama

Khutbah Jumaat JAIS ajak rakyat hargai nikmat keamanan negara

Sanggupkah lihat Malaysia diceroboh, negara jadi huru-hara?

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Keselamatan, kestabilan politik dan kemajuan adalah tiga asas penting kepada keutuhan sesebuah negara, kata khutbah Jumaat hari ini.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu mengingatkan rakyat mengenai tingginya nilai nikmat keselamatan, kestabilan politik dan kemajuan yang perlu dijaga dengan baik.

Katanya, semua nikmat itu mungkin akan ditarik sekiranya rakyat kufur dan ingkar kepada Allah, selain melanggar serta mengkhianati undang-undang negara.

“Adakah kita mahu Malaysia diceroboh? Sanggupkah kita biarkan Malaysia dalam keadaan huru-hara.

“Mahukah kita lihat Malaysia mundur dan hancur? Oleh itu, sudah pasti kita tidak rela berlakunya perkara yang buruk kepada negara kita.

“Hari Malaysia menginsafkan kita untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga negara kita,” kata khutbah.

Khutbah berkata, tiga asas penting itu yang menyebabkan pemimpin terdahulu telah memperjuangkan untuk menggabung negeri-negeri Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak sebagai satu Persekutuan yang diberi nama Malaysia pada 16 September 1963.

“Usaha-usaha dalam merealisasikan penubuhan Malaysia bukanlah satu perkara yang mudah dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran yang mendatang.

“Namun atas kebijaksanaan pemimpin dan semangat toleransi antara pelbagai pihak, Malaysia pada hari ini berjaya menjadi sebuah negara yang maju, makmur, aman dan sentosa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button