Berita Utama

Portal Mandarin: Masyarakat Cina masih tak faham bahasa kebangsaan?

Sistem sekolah vernakular terlalu mengakar hingga terperangkap dengan 'bubble' sendiri

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal berbahasa Mandarin menimbulkan persoalan sama ada ramai dari masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris.

Sekiranya benar, Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mengajak semua pihak merenung kembali di manakah silap dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia berteraskan identiti nasional selama ini.

Katanya, selepas lebih 60 tahun, sepatutnya semua orang fasih berbahasa kebangsaan, bukan setakat faham sahaja.

“Tetapi apa yang berlaku jauh lebih teruk, faham pun tidak. Sudahlah tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda. Mungkin kita tidak perasan atau lupa, bahawa banyak lagi tempat yang memerlukan ‘terjemahan’.

“Contohnya di mahkamah, betapa ramainya rakyat Malaysia yang perlukan khidmat penterjemah dalam bahasa ibunda mereka untuk urusan-urusan mahkamah termasuk perbicaraan? Itu belum lagi papan-papan tanda di kawasan-kawasan tertentu yang dipenuhi dengan bahasa Mandarin.

“Malah, sewaktu pilihan raya pun penuh dengan poster-poster kempen dalam bahasa Mandarin jika kita pergi ke kawasan-kawasan majoriti Cina. Lihat sahaja sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini, tidak perlu ke sana pun. Pergi sahaja ke laman-laman Facebook parti-parti Cina bertanding,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi beliau, antara masalah terbesar ialah sistem sekolah vernakular yang terlalu mengakar dan besar di negara sehingga ada segmen masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan ‘bubble’ mereka tersendiri.

Haji Aminuddin yakin sekiranya dari kecil tidak terdedah dengan bahasa kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahami bahasa Melayu.

“Bukan setakat bahasa kebangsaan sahaja, mungkin ramai yang janggal dengan abjad tulisan rumi. Sebab itulah terjemahan bahasa Inggeris pun ramai yang tidak faham sehingga perlukan terjemahan bahasa Mandarin.

“Dan tidak terkejutlah jika ramai yang ‘fobia’ apabila melihat tulisan Jawi!,” katanya.

Terdahulu, SPRM melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya ini.

SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu ini, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button