Berita Utama

Siapa sebenarnya cuba jadikan isu kedaulatan Sabah modal pilihan raya?

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kecewa apabila tindakan mempertahankan kedaulatan Sabah dianggap sebagai sesuatu yang jijik.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Hishammuddin menegaskan sebagai Menteri Luar, beliau perlu memberi respons terhadap cadangan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal supaya tidak timbul kekeliruan.

“Media juga minta saya respons. Takkan Liew Chin Tong hendak saya berdiam? Ke masa jadi Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, Liew Chin Tong memang suka berdiam?.

“Lebih saya kecewa, tindakan saya pertahan kedaulatan Sabah dianggap sebagai jijik. Ini saya tak nak komen.

“Biarlah rakyat sendiri lihat dan nilai tahap pemikiran pemimpin pembangkang,” katanya.

Terdahulu, pemimpin parti tamak haloba DAP, Liew Chin Tong berkata, tindakan Hishammuddin menggunakan isu tuntutan senator Filipina ke atas Sabah sebagai bahan politik ketika ini adalah ‘amat menjijikkan’.

Dakwanya, menteri terbabit bertindak begitu kononnya untuk menunjukkan ketegasan dan pada masa sama memberikan gambaran Presiden Warisan berlembut kepada Manila.

Kata senator DAP itu lagi, dengan membuat pelbagai tuduhan palsu dalam isu berkenaan serta menjadikan dasar negara dalam hal ehwal antarabangsa sebagai bahan kempen menghadapi Warisan di Sabah, Hishammuddin patut meletakkan jawatannya.

Hishammuddin bagaimanapun menyangkal dakwaan Chin Tong bahawa menggunakan isu kedaulatan Sabah sebagai modal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kalau Liew Chin Tong hendak tuduh saya gunakan isu ini sebagai modal pilihan raya, cuba tanya Shafie dahulu, kenapa hanya pada 28 Ogos iaitu selepas tarikh PRN Sabah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru Shafie tiba-tiba hendak cadang agar kerajaan berunding dengan Filipina?

“Jadi, sebenarnya siapa cuba jadikan isu ini sebagai modal pilihan raya?,” soalnya.

Beliau juga secara sinis mempersoalkan sama ada pembangkang membidas dakwaan tidak bertanggungjawab Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr sebelum ini.

“Atau ada tak Liew Chin Tong sendiri buat kenyataan yang menyokong tindakan saya dan Timbalan Menteri pertahankan Sabah?,” soalnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button