Berita Utama

Tiada warna, bau, karbon monoksida pembunuh senyap

'Buka tingkap sedikit ketika tidur dalam kereta tanggapan kurang tepat'

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Tidak mempunyai warna dan bau, gas karbon monoksida dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’ malah menjadi punca utama kematian akibat keracunan.

Laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) berkata, keracunan karbon monoksida tidak memerlukan kuantiti yang banyak, kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan kita tidak sedarkan diri.

“Keracunan karbon monoksida adalah punca utama kecederaan dan kematian akibat keracunan di seluruh dunia. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat, 50,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun, dan 430 mati akibat keracunan karbon monoksida.

“Karbon monoksida terbentuk hasil daripada pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi.

“Ianya boleh di hasilkan dari pembakaran diesel atau petrol kenderaan, penggunaan gas untuk alat pemanas dan ketika memasak,” katanya.

Kelmarin, tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri.

Kenderaan dinaiki mangsa ditemui di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, Seberang Jaya dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila tertidur ketika berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

PHM menjelaskan bahawa pembakaran bahan bakar di dalam engin kenderaan menghasilkan banyak gas sampingan yang dikeluarkan sebagai asap ekzos.

Jelasnya, asap ekzos mengandungi gas yang merbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon, dan nitrogen oksida.

“Ketika memandu, sistem ekzos yang baik akan membebaskan gas beracun ini ke persekitaran dengan lancar dan selamat. Masalah timbul apabila sistem ini bocor dan lebih diburukkan lagi apabila kenderaan tidak bergerak.

“Tanpa disedari, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan masuk menerusi saluran pernafasan dan memasuki saluran darah,” katanya.

PHM turut menjelaskan salah tanggapan masyarakat yang mengaitkan tidur di dalam kereta dengan membuka sedikit tingkap adalah lebih selamat.

“Kami ingin membetulkan tanggapan yang kurang tepat ini. Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button