BERJASA lancar petisyen desak SPRM tutup portal Mandarin
Usaha fahami bahasa kebangsaan jika benar-benar rakyat Malaysia

BANGI, 1 Safar 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) hari ini melancarkan petisyen mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup segera portalnya dalam bahasa Mandarin.
Petisyen yang dilancarkan di platform change.org itu kini telah menerima sebanyak 1,275 tandatangan daripada rakyat seluruh negara.
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad menggesa supaya SPRM kembali kepada asas Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan pemerintah tidak seharusnya membenarkan ini berlaku sama sekali,” tegasnya.
Semalam, SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.
Bagaimanapun, tindakan itu menerima kecaman ramai pihak yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar dan memalukan.
Bahkan, tindakan SPRM itu turut dibimbangi akan mencetuskan ketidakpuasan hati bangsa selain Cina yang berkemungkinan akan menuntut portal agensi kerajaan itu untuk turut diwujudkan dalam bahasa mereka.
Menyelar tindakan itu, salah seorang pengguna Facebook di ruangan komen laman rasmi SPRM, Ming Joo menyifatkan kewujudan portal itu sebagai memalukan.
“Apa benda la SPRM ni jangan cuba memalukan negara Malaysia. Sejak bila bahasa Cina boleh digunakan utk memudahkan apa-apa urusan.
“Guna dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja jangan nak menurut sangat dan sebagainya,” katanya.
Sementara seorang lagi pengguna, Mohd Saiful Rizam menggesa supaya SPRM mengutamakan bahasa kebangsaan dalam agensinya.
“Gunakan bahasa kebangsaan, perlu utamakan bahasa rasmi. Mana yang tak faham bahasa rasmi tu perlulah berusaha mempelajari andai kamu betul-betul anak Malaysia dan cintakan negara Malaysia,” katanya.