Berita Utama

COVID-19: 20 kes baharu hari ini, 17 penularan tempatan

Jadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia 10,167

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1442H, Sabtu – Sebanyak 20 kes baharu melibatkan 17 kes penularan tempatan dan satu kematian dilaporkan di Kedah hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 10,167 kes dengan 130 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 722.

Bagi 17 kes penularan tempatan, 14 kes melibatkan warga tempatan dan tiga kes bukan warganegara, katanya.

Sebanyak sembilan kes dicatatkan di Kedah termasuk lapan kes daripada Kluster Sungai dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah manakala lapan kes dicatatkan di Sabah.

“Tiga kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang melibatkan dua bukan warganegara; satu kes SARI di Hospital Tawau; satu kes saringan prapembedahan di Hospital Keningau; satu kes saringan komuniti di Tawau; satu kes daripada Kluster Benteng LD; dan satu kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan bukan warganegara, iaitu kluster baharu di Semporna,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button