Jenayah perang, 84 peratus rakyat Kanada setuju ICC siasat Israel
Majoriti tak mahu nafi tuduhan pelanggaran hak asasi manusia
OTTAWA, 1 Safar 1442H, Sabtu – Sebanyak 84 peratus daripada rakyat Kanada bersetuju dengan tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melakukan siasatan jenayah perang terhadap negara haram Israel.
Malah, kemungkinan Kanada memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis al-Quds, Palestin turut dikenal pasti.
Tinjauan dilakukan oleh agensi Keadilan dan Keamanan Kanada di Timur Tengah (CJME), Independent Jewish Voices Canada dan United Network for Justice and Peace di Palestin-Israel.
Pada masa sama, rakyat Kanada turut menyokong kebebasan ICC, selain tidak mahu kerajaan campur tangan dalam urusan mahkamah termasuk menghalang siasatan.
Hanya satu pertiga rakyat Kanada berpendapat kerajaan perlu campur tangan sekiranya siasatan ICC bertentangan dengan hujah Ottawa.
CJME menegaskan, siasatan penting memandangkan kerajaan Kanada pada bulan Februari telah mengirimkan surat kepada ICC – sebagai salah satu usaha menghalang dakwaan jenayah perang ke atas Israel.
Tinjaun yang turut mendapat kerjasama dari EKOS Research Associates itu memutuskan sebilangan besar rakyat Kanada tidak mahu menafikan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia oleh mana-mana negara, terutamanya Israel walau apa jua alasan diberikan.
Sebanyak 86 peratus rakyat Kanada tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa, Ottawa harus mengabaikan tindakan pelanggaran hak asasi manusia Israel, memandangkan mereka adalah sekutu kepada negara tidak diikiraf itu. – Agensi