Berita Utama

MIC tuntut kerusi ‘boleh menang’ dari UMNO untuk PRU15

Vigneswaran mahu UMNO balas pengorbanan MIC pada pilihan raya sebelum ini

SUNGAI SIPUT, 8 Rejab 1442H, Sabtu – Meski tanda tanya sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat belum terjawab, MIC kini mahu menuntut kerusi-kerusi yang boleh dimenangi daripada UMNO. 

Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran berkata, pihaknya mahu kembali berada di dalam kerajaan khususnya di negeri.

Dakwanya, pada PRU14 lalu, UMNO juga tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, maka pada PRU akan datang, MIC perlu diberikan ruang bertanding di kerusi-kerusi boleh dimenangi.

“Seperti mana dilakukan oleh MIC pada dua pilihan raya sebelum ini dengan menyerahkan kerusi milik MIC kepada UMNO, maka parti itu juga berhasrat UMNO berbuat demikian pada pilihan raya akan datang.

“Kita memohon jasa baik UMNO juga kepimpinan negeri supaya memberikan kita satu kerusi yang boleh dimenangi supaya boleh bersama kerajaan ini (Perak) sebagai Exco kerajaan negeri.

“Permintaan kita ini bukanlah satu permintaan yang tidak waras,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.  

Beliau berkata demikian selepas Program Penyerahan Mesin Jahit dan Sumbangan Cek kepada golongan B40 sekitar Parlimen Sungai Siput di Pejabat MIC Sungai Siput, pada hari ini.

Katanya, sebelum ini MIC sanggup berkorban dengan menyerahkan kerusi DUN Behrang, DUN Hutan Melintang dan DUN Pasir Panjang kepada UMNO kerana mahu memastikan Barisan Nasional (BN) menerajui Perak.

Justeru, parti itu akan membuat rayuan kepada pucuk pimpinan BN, UMNO Pusat dan negeri supaya boleh memberi satu kerusi yang boleh dimenangi.

Pun begitu, Vigneswaran berkata, susunan kerusi parti itu akan mengikut acuan BN dan beliau berharap pengagihan kerusi dapat diselesaikan dengan kepimpinan parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PRU15 akan dibuat dalam masa terdekat berikutan vaksin yang akan diberikan kepada semua rakyat, Vigneswaran berkata, perkara tersebut bergantung kepada keadaan darurat dihadapi negara.

“Sebarang keputusan juga bergantung kepada pertimbangan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan faktor keselamatan serta kesesuaian bagi menamatkan darurat berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button