Berita Utama

Johor rampas tanah persendirian dijadikan tapak sampah haram

Tahun ini 189 lokasi pembuangan sampah haram telah dikenal pasti

ISKANDAR PUTERI, 1 Safar 1442H, Sabtu – Kerajaan negeri akan merampas tanah persendirian yang dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah haram di negeri Johor, berkuat kuasa tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata tindakan itu akan diambil jika pembuangan sampah haram di lokasi itu masih berlaku walaupun pemilik tanah sudah diberikan nasihat dan ingatan oleh pihak berkuasa.

Katanya pada tahun ini sahaja 189 lokasi pembuangan sampah haram telah dikenal pasti di daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri, dengan 88 daripadanya merupakan lokasi pembuangan sampah haram berulang.

“Denda dan perbicaraan di mahkamah telah dilakukan, tetapi jika Majlis Bandaraya dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah beri nasihat, namun kes terus berulang dan boleh beri kesan jangka panjang kepada alam sekitar, maka tindakan merampas akan dilaksanakan, selaras dengan Kanun Tanah Negara,” katanya.

Ayub berkata demikian kepada pemberita selepas Program World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan 2020 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah, hari ini.

Sementara itu Ismail ketika diminta mengulas sama ada kementeriannya akan meningkatkan lagi hukuman supaya orang awam tidak berani membuang sampah di merata-rata berkata, pihaknya akan meneliti akta-akta yang wajar dipinda.

“Kita akan melihat keseluruhan akta yang ada dalam kementerian. Yang mana wajar, kita pinda demi menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Menyentuh program hari ini Ismail berkata ia dijalankan serentak di 44 lokasi seluruh negara melibatkan penyertaan seramai 4,512 peserta dari 85 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya mereka ini akan membersihkan kawasan seperti tempat rekreasi, pantai, tebing-tebing sungai di tujuh buah negeri yang menerima pakai Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Kedah dan Perlis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button