Dunia

Kematian etnik Uyghur berlaku di mana-mana

Jumlah mereka ditahan, dibunuh lebih banyak dilapor media

“SITUASINYA sangat teruk daripada apa yang dilaporkan. Etnik Islam Uyghur sudah hilang, kematian berlaku di mana-mana”.

Demikian pengakuan Presiden Yayasan Projek Uyghur dan Penasihat Kanan Kongres Uyghur Sedunia, Dr Erkin Sidick.

Dr Erkin mendakwa, jumlah tahanan etnik Uyghur oleh China di dalam kem termasuk mereka yang mati melebihi angka Yahudi ditahan serta terbunuh dalam tragedi Holocaust.

“Ini bukan indoktrinasi, tetapi pembasmian,” katanya lagi.

Dr Erkin juga percaya, laporan media antarabangsa berkenaan situasi semasa etnik minoriti berkenaan adalah dua tahun lewat daripada realiti sebenar.

“Sebagai contoh, banyak media melaporkan hampir atau lebih sejuta etnik Uyghur ditahan, namun mereka menggunakan angka ini sejak Pemerhati Hak Asasi Manusia mengeluarkan artikel pada 15 Januari 2018.

“Ianya kira-kira dua setengah tahun yang lalu, tetapi media masih menggunakan angka lebih atau hampir sejuta orang ditahan,” katanya.

Pegawai kerajaan di wilayah autonomi Xinjiang memberitahu Dr Erkin bahawa, pada tahun 2016 populasi penduduk etnik itu adalah seramai 92,000 orang.

Bagaimanapun, sejak empat tahun lalu, jumlah berkenaan menyusut secara drastik kepada 80 peratus.

Rata-rata populasi etnik Islam Uyghur menetap di sekitar kawasan Kashgar, Hotan dan Aksu.

Kebanyakan mereka yang pernah berkunjung ke kawasan penempatan itu memberitahu, masyarakat Uyghur tidak ditemui di jalan raya, di bandar mahupun di kawasan pertanian.

Dalam banyak keadaan, para pengunjung menemui pasangan yang menyaksikan seorang wanita Uyghur berjalan bersama lelaki daripada kaum Han, dan adakala mereka membawa anak kecil.

Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Yayasan Jamestown dan diterbitkan bulan lalu melaporkan, berlaku penyusutan dramatik populasi di Xinjiang sebanyak 84 peratus di antara tahun 2015 hingga 2018.

“Ini adalah bukti kuat kepada berlakunya tindakan genosid oleh Beijing, apa yang berlaku di Xinjiang memenuhi kriteria Section D of Article II of the United Nations Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide,” dakwa Dr Erkin.

Dr Erkin juga mendakwa, Presiden China, Xi Jinping membuat keputusan ‘top secret’ pada tahun 2014 untuk ‘membunuh satu pertiga etnik Islam Uyghur’, tahan satu pertiga dan satu pertiga lagi dipaksa mengikut ideologi komunis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button