Berita Utama

Pengangguran dijangka turun kepada 3.9 peratus tahun depan

Kementerian sedia program 'place and train' untuk graduan menganggur, pekerja diberhentikan

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1442H, Sabtu – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim menjangkakan pengangguran negara mampu menurun kepada 3.9 peratus, tahun depan.

Beliau berkata, ia berikutan trend ekonomi semasa negara yang semakin pulih.

Yakin dengan jangkaan itu, beliau berkata, lebih banyak penawaran kerja akan berlaku apabila sektor industri yang kembali beroperasi semakin bertambah selepas ini.

“Mengikut Jabatan Perangkaan jumlah penganggur sehingga Julai lalu seramai 745,100 manakala jumlah bekerja adalah seramai 15 juta.

“Namun dengan trend pemulihan ekonomi negara ketika ini, Kementerian Sumber Manusia menjangkakan lebih ramai individu kehilangan kerja akibat pandemik COVID-19 akan mendapat peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada di program sanitasi awam Parlimen Pendang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Awang seperti dilapor BH Online memaklumkan, kementeriannya turut menawarkan pelbagai program bagi membantu individu yang kehilangan kerja akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebanyak RM82 juta dibelanjakan untuk 15,512 individu bagi program ‘place and train’ yang disasarkan kepada pelepasan sekolah, graduan menganggur dan pekerja yang diberhentikan berusia 18 hingga 55 tahun.

“Kita juga menyediakan latihan kemahiran untuk menjadi pekerja sambilan kepada 10,000 individu dengan kos sebanyak RM50 juta dalam Program Gerak Insan Gemilang (GIG).

“Selain itu, kementerian juga menyediakan latihan kemahiran khusus untuk golongan B40 bagi menjana pendapatan dalam pelbagai industri membabitkan warga emas, wanita, belia dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button