Berita Utama

Portal Mandarin: Beri isyarat kerajaan tak tegas bela bahasa Melayu

Selepas ini adakah SPRM akan penuhi keperluan kaum lain juga?

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 1 Safar 1442H, Sabtu – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal dalam bahasa Mandarin adalah isyarat jelas kepada kerajaan supaya lebih tegas dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, ia termasuk syarat kewarganegaraan yang perlu diperketatkan melalui pelaksanaan ujian bahasa kebangsaan.

Berdasarkan pencapaian dalam ujian itu, katanya, seseorang individu itu boleh mengikuti kursus bahasa kebangsaan.

“Pada tahun 1960-an dahulu ada kelas dewasa untuk program celik huruf masyarakat di luar bandar dan kaedah yang sama boleh digunakan untuk kelas bahasa kebangsaan kepada masyarakat umum.

“DBP telah lama menyediakan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) dan modul kursus bahasa untuk pelbagai peringkat, termasuk untuk warganegara Malaysia, selain UKBM untuk pelajar dan pekerja asing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

SPRM semalam melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk tidak memahami bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan setelah 63 tahun kemerdekaaan.

“Sesudah Mandarin, adakah SPRM akan memenuhi keperluan kaum-kaum lain atas alasan tidak memahami bahasa kebangsaan?,” soalnya.

Jelasnya, bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi mesti digunakan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, seperti ketetapan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau menggesa SPRM yang bertindak sebagai badan berkuasa awam supaya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuk di dalam portalnya.

“Makna bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti dalam pecahan (6) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button