Portal Mandarin: SPRM memalukan sebuah negara berdaulat
Adakah kita masih mahu bersikap ‘tak apa’ dalam situasi ini?
BANGI, 1 Safar 1442H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta segera menutup laman portal berbahasa Mandarin yang dilancarkannya baru-baru ini.
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad berkata, ini kerana tindakan badan berkanun berkenaan adalah salah dan perlu melihat kembali asas Perlembagaan Persekutuan.
Malah, katanya, kerajaan juga tidak seharusnya membenarkan perkara yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara itu daripada berlaku.
Beliau menyifatkan tindakan SPRM sebagai satu penghinaan terhadap identiti Malaysia yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Selepas 63 tahun kita merdeka, dan berpuluh generasi berlalu adakah kita masih lagi mahu bersikap ‘tak apa’ dalam situasi ini?
“Sepatutnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromi. Cantik di atas kertas kita ada Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152, kita ada Dasar Bahasa Kebangsaan, kita ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Adakah ini hanya di atas kertas semata?
“Apa punca sehingga kita masih lagi berdepan dengan situasi sebegini rupa? Bukan sekadar masyarakat Cina marhaen sahaja, malah sehingga ke Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pun masih gagal berbahasa kebangsaan dengan baik. Ini adalah amat memalukan bagi sebuah negara berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, SPRM melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya itu.
Mengulas mengenai perkara sama, Hazwan berkata, antara salah satu punca bahasa kebangsaan menjadi isu adalah disebabkan negara ini masih lagi dibelenggu dengan sistem vernakular sehingga ke peringkat universiti.
Beliau mendakwa, terdapat banyak kajian yang dilakukan oleh bukan sahaja ahli akademik seperti para profesor, sejarawan dan pengkaji bebas, malah orang Cina turut menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk negara ini memiliki hanya satu sistem pendidikan menggunakan bahasa pengantar, iaitu bahasa Melayu.
“Cumanya, pemerintah perlu berjiwa besar.
“Kita baru sahaja menyambut Hari Malaysia ke-57 beberapa hari yang lalu. Sepatutnya kita yang mengaku sebagai warganegara Malaysia, menerima secara ‘total’ bahawa kita perlukan sebuah identiti nasional yang satu, untuk memastikan perpaduan dan keharmonian semua rakyat Malaysia,” tegasnya.