Berita Utama

PRN Sabah: Isu ekonomi, MA63, pembangunan jadi tumpuan

Sabah, Sarawak jauh ketinggalan dari segi pembangunan

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1442H, Sabtu – Isu ekonomi, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembangunan wilayah di Sabah, bakal menjadi modal kepada calon pilihan raya negeri (PRN) itu.

Bagaimanapun Felow Akademi Sains Malaysia Dr Madeline Berma berkata, isu tersebut tidak seharusnya diperjuangkan semata-mata untuk meraih undi bagi memenangi PRN Sabah ke-16 itu, sebaliknya harus dizahirkan bagi memastikan rakyat Sabah turut menikmati kemajuan, seperti di negeri-negeri membangun di Semenanjung Malaysia.

“Perkara ekonomi di Sabah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia, sememangnya Sabah dan Sarawak juga masih jauh ketinggalan, berbanding beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi pembangunan wilayah. Ini yang akan menjadi agenda dan isu yang akan dibangkit. Kita tak boleh ada negeri yang ketinggalan, kerana ungkapan ‘kemakmuran bersama’ yang sentiasa disebut, perlu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.

Katanya, negeri-negeri yang kurang membangun juga perlu diberikan perhatian yang lebih.

Dalam pada itu, ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, Dr Madeline berkata isu pengangguran perlu diberikan tumpuan, memandangkan Sabah mencatatkan kadar pengangguran 5.8 peratus pada 2019.

“Benda ini sudah lama berlaku. Seharusnya isu ini tidak hanya dibangkitkan pada Pilihan Raya dan Hari Malaysia sahaja. Janganlah sampai anak Sabah dan Sarawak merasakan mereka miskin di negara mereka sendiri,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button