Berita Utama

Tiada toleransi tindakan rendahkan martabat bahasa kebangsaan!

Rasuah meningkat sebab tak faham portal bahasa Melayukah?

BANGI, 1 Safar 1442H, Sabtu – Pemuda PAS mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal dalam bahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Menyifatkan ia sebagai tidak wajar, Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan mewujudkan portal itu dibimbangi akan menggalakkan pihak-pihak lain untuk mengikuti langkah sama terutama sekali agensi kerajaan.

“Apakah SPRM ingin mengatakan bahawa salah laku rasuah yang tinggi berpunca daripada kegagalan memahami portal SPRM dalam bahasa Melayu? 

“Persoalan ini perlu dijawab oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih mendukacitakan, kata Khairil Nizam, SPRM seolah-olah mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib difahami oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan serta lain-lain bangsa dan suku yang mengaku mereka adalah warganegara Malaysia.

“Perlu diingat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah dijamin oleh Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152(1)(a),” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa agar Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, agar peranan DBP tidak dilihat hanya memberi galakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata.

Katanya lagi, DBP juga perlu diberi punca kuasa bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak ingkar terhadap penggunaan bahasa Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Tidak ada toleransi terhadap tindakan merendahkan martabat bahasa kebangsaan!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button