Berita Utama

APMM tahan kapal tangki, bot nelayan asing di perairan Johor

Didakwa atas kesalahan berapung-apung dalam perairan Malaysia

JOHOR BAHRU, 2 Safar 1442H, Ahad – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki dan bot nelayan asing di perairan Johor Timur, dekat Kota Tinggi, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Tan Ah Bik dalam satu kenyataan berkata kapal tangki tanpa muatan yang didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia ditahan ketika sedang bersauh kira-kira 14 batu nautika timur Tanjung Siang pada 1.35 tengah hari.

Bot yang dipercayai bot nelayan Indonesia itu pula ditahan pukul 3.02 petang pada kedudukan 14.2 batu nautika timur Tanjung Siang.

Menurut Tan, pemeriksaan ke atas kapal berkenaan mendapati ia dikendalikan oleh enam lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 63 tahun tetapi tidak mempunyai dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Laut.

Bot nelayan itu pula dikendalikan oleh dua kru lelaki warga Indonesia yang berumur 35 dan 45 tahun.

“Susulan pemeriksaan itu, nakhoda dan seorang kru kapal berkenaan telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana tiada kebenaran bersauh.

“Selain itu, kedua kru bot (nelayan) juga dibawa di pejabat sama untuk disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dalam perairan Malaysia; Seksyen 5 Akta Imigresen 1959 kerana cubaan memasuki Perairan Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa notifikasi,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button