Jangan lagi tergadai maruah, tunjuk kuasa rakyat di PRU15
Lakukan perubahan demi jaga kedaulatan negara: PEMBELA
BANGI, 2 Safar 1442H, Ahad – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan rakyat terhadap peranan mereka dalam menjaga kedaulatan negara.
Naib Presiden PEMBELA, Cikgu Izzat Johari berkata, ketika pemimpin sedang leka dengan kuasa, rakyat jangan pernah lupa terhadap peranan mereka.
Justeru, beliau menggesa rakyat khususnya umat Islam supaya bersatu hati untuk melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Kadang-kadang kita terlupa kedudukan kita, kita lupa peranan kita dan lupa siapa kita.
“Sebelum pilihan raya, berjanji bulan dan bintang. Indah khabar. Semasa pilihan raya duduk bersimpuh, menatang minyak yang penuh.
“Selepas pilihan raya, nak jumpa? Appointment please,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, itu belum lagi ditanya mengenai tindakan pemimpin Islam ketika Nabi Muhammad dihina.
“YDPA dihina, bendera Malaysia, bahasa kebangsaan, pendidikan kebangsaan, isu arak, kelab malam dan pelacuran, pencerobohan tanah, keadilan arwah Adib dan mangsa pemandu mabuk. Banyak lagi.
“Fikirkanlah. Saya menyeru kepada umat Islam agar kita bersatu hati. Percayalah atau kita mahu gadaikan maruah dan kedaulatan kita sekali lagi pada pihak yang sama,” katanya.