Berita UtamaIstimewa

Jutaan profesional lahir dari sekolah kebangsaan Islamik! Vernakular?

Berapa peratus pula sumbangan lepasan vernakular untuk negara?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Safar 1442H, Ahad  Meskipun dilabel terlalu islamik dan kononnya bertukar menjadi sekolah agama, jutaan lepasan sekolah kebangsaan ternyata tidak melahirkan ‘lebai-lebai’.

Namun, kebanyakan mereka menjadi tenaga profesional dalam pelbagai bidang yang membantu pembangunan negara, kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan.

Serentak itu, beliau menyanggah mana-mana pihak yang melabelkan sekolah kebangsaan telah bertukar menjadi sekolah agama atau terlalu islamik, hanya kerana menekankan aspek keagamaan.

Prof Awang berkata, dakwaan itu mula dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018, yang kemudiannya disensasikan kembali oleh tiga aktivis dalam debat Suara Gerak Independent, baru-baru ini.

“Dakwaan itu mula dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir pada hujung 2018 tanpa merujuk sebarang dokumen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau mana-mana pihak berwibawa.

“Tun Mahathir mengeluarkan dakwaan itu dalam kaitan dengan arahannya agar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan semula, konon untuk meningkatkan mutu pendidikan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu tidak berasas, Prof Awang yang juga penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dakwaan tiga aktivis terbabit juga hanya berniat buruk kepada sekolah kebangsaan.

“Ketiga-tiga orang panel mendakwa bahawa sekolah kebangsaan terlalu memberatkan pelajaran agama, kurang mementingkan sains dan teknologi serta tidak memupuk perpaduan berbanding sekolah vernakular.

“Seperti Tun Mahathir, dakwaan itu tidak berasaskan kajian atau fakta yang dapat dipertanggungjawabkan. Kesemuanya lebih merupakan prasangka berniat buruk kepada sekolah kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, tiga aktivis menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan sebaliknya terlalu islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.

Kenyataan itu dibuat menerusi sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation yang diasaskan peguam dan aktivis, Siti Kasim.

Dalam debat itu, Arun Doraisamy, Phun Teck Seng dan Sam Saad berpandangan sama dan menyimpulkan bahawa sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding sekolah vernakular, yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.

Mengulas lanjut, Prof Awang berkata, jika Dr Mahathir dan aktivis terbabit jujur, mereka sepatutnya merujuk kepada Bahagian Nazir Sekolah di KPM, yang bertugas memantau serta menilai pelaksanaan pendidikan di sekolah.

“Amat malang bahawa Tun yang pernah menjadi Menteri Pendidikan lupa akan peranan Bahagian Nazir di Kementerian Pendidikan.

“Kepada tiga orang aktivis itu, mereka perlu menjawab soalan, berapa peratuskah sumbangan lepasan sekolah vernakular kepada pembangunan negara, berbanding sumbangan lepasan sekolah kebangsaan yang menjadi sistem perdana pendidikan negara?

“Juga apakah bukti nyata sumbangan mereka kepada perpaduan kebangsaan atau pendapat itu hanya retorik kosong,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button