Berita Utama

Konkrit hempap kereta: PROLINTAS henti kerja pembinaan serta-merta

ERT telah berada di tapak kejadian kawal trafik, alih dinding parapet

KUALA LUMPUR, 2 Safar 1442H, Ahad – Pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn.Bhd. (PROLINTAS) mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta susulan kejadian dinding parapet terjatuh daripada struktur binaan lebuh raya itu dan menghempap sebuah kereta, semalam.

PROLINTAS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan terhadap kejadian yang berlaku berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul daripada insiden ini amatlah dikesali dan SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi keselamatan semua,” menurut kenyataan itu.

Seorang wanita nyaris maut dalam kejadian itu selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan SUKE terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2 mengakibatkan kereta itu remuk dan wanita itu cedera pada tangan kirinya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan saluran komunikasi SUKE di talian 1-300-88-9922, laman sesawang www.mysuke.com.my serta di Facebook PROLINTAS Highways atau Twitter @mySUKEofficial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button