Berita UtamaDunia

Krisis ekonomi sebabkan kes curi, rompakan berleluasa di Lubnan

Sehingga rakyat pertimbang beli senjata api untuk lindungi diri

BEIRUT, 2 Safar 1442H, Ahad – Kes kecurian dan rompakan di Lubnan semakin meningkat akibat krisis ekonomi ketika ini, bahkan penduduk juga risau dengan keadaan itu sehingga mempertimbangkan untuk membeli senjata api.

Dua penduduk dengan syarat tidak mahu nama mereka disebut, berkongsi cerita dengan Middle East Eye berkenaan mengapa mereka memilih untuk membeli senjata api.

“Dalam satu bulan, saya mendengar banyak orang diragut dan dirompak.

“Ketidakadilan telah mengambil alih. Saya rasa saya harus melindungi diri saya,” kata Nidal bukan nama sebenar.

Seperti kebanyakan orang di Lubnan, Nidal telah mengeluarkan sebanyak mungkin wang dari akaun banknya, kerana had pengeluaran untuk dolar Amerika Syarikat (AS) dilaksanakan pada akhir September 2019, menyebabkan panik di seluruh negara.

Tetapi dengan adanya wang di rumah dan Nidal tinggal sendirian, dia menyedari seperti kebanyakan orang lain bahawa dirinya sekarang berada dalam keadaan berisiko.

Senjata api Nidal, yang dibeli dengan harga AS$500 kini bernilai lebih daripada lima kali ganda gaji minimum negara.

“Saya tidak pernah menyangka saya harus memiliki senjata,” katanya.

Rompakan yang kerap berlaku di Lubnan ketika ini bukanlah rompakan bank, tetapi hanya mereka yang mencuri lampin pakai buang dan sejumlah wang kecil di farmasi tempatan.

Di farmasi lain, di pinggir bandar Beirut utara Jdeideh, seorang lelaki mengeluarkan senapang dimilikinya dengan panik kerana ingin mencuri wang tunai di kaunter.

Sekurang-kurangnya 55 peratus penduduk Lubnan hidup dalam kemiskinan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mata wang tempatan Lubnan juga telah kehilangan kira-kira 80 peratus nilainya sejak tunjuk perasaan terhadap pemerintah pertama kali bermula Oktober tahun lalu.

Menambah kepada situasi buruk itu, letupan besar di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos menyebabkan sekitar 200 orang mati, lebih daripada 6,000 cedera dan 300,000 kehilangan tempat tinggal.

Hasan Diab, Perdana Menteri ketika itu, mengundurkan diri kurang daripada seminggu kemudian.

Di tengah keadaan ekonomi yang semakin buruk dan meningkatnya jenayah, Nour bukan nama sebenar seperti Nidal, takut akan keselamatannya.

“Saya berfikir untuk membeli senjata ketika keadaan keselamatan mulai berisiko,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button