Artikel Khas

Mahu jadi anak muda biasa atau berjasa?

Perjuangan perbetul politik negara bukan mudah, singkat

1. KEPIMPINAN parti politik utama negara hari ini didominasi oleh golongan ahli politik yang telah berusia.

2. Mereka dihormati, berpengalaman luas dan berpengaruh, namun kurang wawasan serta tidak memiliki generasi pelapis muda yang berkredibiliti.

3. Anak-anak muda biasa yang mempunyai cita-cita politik tapi penakut untuk menongkah arus hanya akan berpaut dan bernaung di bawah bayang-bayang ahli politik tua.

4. Mereka mengharapkan ‘syafaat’. Tapi malangnya, mereka tidak dididik oleh ahli politik tua yang tidak berwawasan. Mereka hanya diperkuda dan dimanipulasi demi kerakusan nafsu ahli politik tua.

5. Lebih malang, mereka akhirnya mempelajari dan menguasai secara tidak langsung budaya kerja ahli politik tua dan partinya yang tidak membina. Anak-anak muda ini akhirnya akan mengitar semula idea, hidup dalam budaya kerja yang sama serta gagal membawa apa-apa pembaharuan dalam politik negara (sepertimana mentor tua mereka).

6. Terdapat segolongan lagi anak-anak muda berjasa yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi serta berani. Mereka nampak kerosakan ahli politik tua dan partinya yang telah lama berkuasa. Mereka tidak sekali-kali mahu bersubahat dan meneruskan kitaran yang mengkhianati agama, bangsa dan negara.

7. Mereka memilih untuk tidak bekerjasama. Sebaliknya bersepakat membentuk parti baharu yang merangka agenda pembangunan ummah berteraskan tarbiah yang berdaya saing. Parti baharu ini akan menjadi agen penyatuan ummah dan persepakatan bangsa tunggak berlandaskan syariat dan perlembagaan negara.

8. Walaupun sedikit ahli, tidak dikenali dan baharu di medan amali. Mereka tidak pernah gentar. Walaupun tiada kawan, dikeji kiri kanan dan dipandang sepi seruan. Mereka terus berdakwah dan bersabar.

9. Mereka tahu perjuangan memperbetul politik negara bukannya mudah dan singkat. Mereka juga tahu agenda ini tidak terpisah dari hubungan geo-politik dunia. Mereka tahu semua ini memerlukan koreksi dan inovasi dari titik mula, bukan jalan singkat yang disukai manusia.

10. Lantas mereka mendefinisikan semula setiap bidang strategik yang membentuk kekuatan hakiki berdasarkan falsafah wahyu.

11. Mereka mengkaji setiap inci kekuatan dan strategi musuh. Syaitan, Zionis, Evengelis dan Kapitalis.

12. Mereka turut menganalisa pelajaran dari sejarah kejatuhan empayar Islam. Kejatuhan Baghdad, penjajahan semula Masjid Al-Aqsa, keruntuhan Empayar Melayu Islam Melaka, WW1, WW2 dan kemusnahan Khilafah Turki Uthmaniyyah.

13. Mereka juga mengutip mutiara bagi menjawab persoalan kenapa perjuangan FIS di Algeria, Hamas di Palestin dan FJP di Mesir masih gagal membentuk kestabilan politik meskipun memiliki kekuatan undi dalam pilihan raya.

14. Mereka tidak lupa merungkai solusi kenapa kekuatan politik bangsa Melayu akhirnya sujud kepada kekuatan ekonomi bangsa Cina di Malaysia. Mereka amat jelas akan peranan penjajah, pemimpin anglophile dan individu yang mulia dalam kemelut ini.

15. Ketika pemimpin tua negara saling bercakaran merebut parti dan kerusi, meneguk rasuah dan menjual maruah, memperkecil bangsa dan menghina agama, para anak muda ini terus melakarkan semula hala tuju negara dari kanvas putih.

16. Ketika pemimpin tua negara sibuk memberi BSH, projek pembangunan infrastruktur dan fasiliti fizikal, para anak muda ini terus memerah keringat mentarbiah rakyat bagi membina jati diri dalaman, agenda yang mapan dan kekuatan iman.

17. Kerana mereka percaya kejayaan sesuatu negara bangsa ditentukan oleh faktor kekuatan dalaman lebih daripada kemajuan material. Ia perlu dibina dari acuan tersendiri melebihi corak yang dipaksakan oleh kuasa dunia. Ia menuntut pengorbanan bukan medan mengutip kemewahan.

18. Hakikat inilah yang gagal difahami oleh generasi pemimpin tua sehingga menyebabkan negara terus menderita.

19. Negara ini hanya boleh diselamatkan oleh gerombolan pemimpin muda ini.

20. Mahukah anda menjadi sebahagian daripada mereka?

Ir Lukman Al Hakim
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button