Berita UtamaDunia

MUIS sedang lengkapkan siasatan kes lelaki mengaku nabi

Sangkal dakwaan gagal bertindak terhadap lelaki dipercayai sudah 15 tahun sebar ajaran sesat

SINGAPURA, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang melengkapkan siasatan kes seorang lelaki yang dikatakan mengaku nabi dan mengamalkan nikah batin.

Menurut kenyataan MUIS hari ini, pasukan penyiasat serta Jawatankuasa Fatwa telah menemu bual individu-individu utama yang terbabit dengan kes tersebut.

Ia memaklumkan, hasil siasatan akan dikongsikan dengan orang ramai dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, MUIS menyangkal dakwaan bahawa ia gagal bertindak terhadap individu yang dipercayai sudah lebih 15 tahun menyebarkan ajaran sesat berkenaan.

Dakwaan itu dilaporkan terus menular di alam maya dan bahkan diterbitkan dalam rencana yang ditulis seorang penulis asing.

Walhal, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli sudah menjelaskan di Parlimen pada Januari lalu bahawa MUIS pertama kali menerima aduan terhadap lelaki tersebut pada 2015.

“Selepas menjalankan siasatan, MUIS pada 2018 mengarahkan lelaki terbabit supaya segera berhenti menawarkan ‘khidmat penyembuhan’. Dia turut diarah berhenti menyebarkan sebarang ajaran yang tidak berlandaskan sumber-sumber agama yang berwibawa.

“Namun pada November tahun lalu, muncul maklumat baru,” katanya.

Akhbar The Straits Times dilaporkan menerbitkan sebuah laporan bertarikh 9 November yang mengemukakan pelbagai dakwaan terhadap lelaki sama yang disiasat MUIS itu.

“Sejurus selepas muncul maklumat baru mengenai kes ini, MUIS dengan segera membuka semula siasatan dan mengeluarkan kenyataan media pada 10 November 2020 untuk menggesa orang ramai supaya tampil dengan bukti.

“Jadi, dakwaan bahawa MUIS sudah bertemu dengan lelaki terbabit lebih setahun yang lalu tetapi gagal mengambil tindakan tidak berasas sama sekali,” katanya.

MediaCorp berkata, dakwaan sebegitu seolah-olah mempertikaikan kewibawaan MUIS sehingga ia terpaksa berkali-kali tampil untuk membidas semua dakwaan tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button