Berita Utama

Portal Mandarin: BERJASA hantar petisyen bantahan kepada SPRM

Kewujudan portal bercanggah Perlembagaan, semangat cinta bahasa kebangsaan

BANGI, 2 Safar 1442H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) akan menghantar memorandum dan petisyen bantahan bagi menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup portal rasmi berbahasa Mandarin.

Memorandum tersebut akan diserah melalui Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya.

Ketua ANGKASA, Hazwan Mohamad berkata, ia merupakan memorandum penting yang dihantar oleh rakyat bagi menuntut penutupan portal rasmi SPRM berbahasa Mandarin serta meminta penjelasan daripada agensi tersebut.

Ini kerana, katanya, kewujudan portal berkenaan dilihat bercanggah dengan Perlembagaan dan semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Katanya, langkah itu tercetus selepas kenyataan media SPRM mengumumkan pelancaran portal rasmi berbahasa mandarin minggu lepas.

Sementara itu, Ketua Penerangan ANGKASA, Asyraf Badhrul berkata, isu berkaitan penguasaan bahasa kebangsaan adalah isu penting yang perlu diselesaikan segera oleh kerajaan.

“Kita akan desak sehingga SPRM akur dengan Perlembagaan Malaysia. 

“Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana akan menjadi titik tolak kepada banyak lagi tindakan sama yang akan berulang di agensi lain,” katanya.

Semalam, BERJASA melancarkan petisyen mendesak supaya SPRM menutup portal rasmi bahasa Mandarin dengan segera.

Petisyen yang dilancarkan di platform change.org itu kini telah mendapat sebanyak 9,000 tandatangan daripada rakyat seluruh Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button