Berita Utama

Portal Mandarin: Kerajaan patut konsisten martabat bahasa Melayu

Usah mengalah dengan desakan ultra kiasu hingga hilang identiti nasional

BANGI, 2 Safar 1442H, Ahad – Kerajaan perlu konsisten dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata demikian susulan kesal dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, kononnya bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat.

Prof Zainur Rashid berkata, beliau tidak melihat pemimpin Melayu gigih memartabat bahasa Melayu, melainkan hanya menjaga ‘periuk nasi’ serta parti sendiri.

“Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu konsisten dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai agen perpaduan.

“Usah mengalah dengan desakan pihak ultra kiasu yang menuntut satu demi satu sehingga hilang identiti nasional dan agen perpaduan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tindakan SPRM melancarkan portal itu pada Jumaat lalu menerima kecaman ramai pihak yang menyifatkannya tidak wajar serta memalukan.

Bahkan satu petisyen atas talian telah dilancarkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) semalam, bagi mendesak SPRM menutup segera portal rasmi bahasa Mandarin itu.

Mengulas lanjut, Prof Zainur Rashid turut menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya menandatangani petisyen bantahan berkenaan di Change.org.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air kita, mari bersama-sama kita menandatangani petisyen ini sebagai sokongan untuk mendesak SPRM bertindak segera,” katanya.

Petisyen yang menyasarkan 10,000 tandatangan itu akan diserah bersama memorandum oleh Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya.

Setakat jam 3 petang ini, petisyen berkenaan sudah berjaya mengutip 9,522 tandatangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button