Berita Utama

Bendera terbalik di Balai Polis Simpang Lima tak disengaja

Siasatan ikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963

IPOH, 3 Safar 1442H, Isnin – Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Balai Polis Simpang Lima di Parit Buntar semalam yang tular di media sosial, adalah tidak disengajakan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, bendera itu dipasang oleh seorang anggota lelaki pada kira-kira pukul 6 pagi sebelum tamat tugas dan disedari oleh orang awam kira-kira sejam kemudian.

“Kerja memasang Jalur Gemilang bersama bendera negeri Perak dan bendera polis dilakukan pada 6 pagi setiap hari sebelum diturunkan pada pukul 6 petang namun kejadian yang berlaku semalam tidak disengajakan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas dimaklumkan oleh rakan setugas mengenai kesilapan itu, anggota berkenaan kembali ke balai dan membetulkan posisi bendera berkenaan.

Mazuki berkata, Ketua Polis Balai Simpang Lima telah membuat laporan berhubung kejadian petang semalam itu dan meminta orang ramai supaya tidak lagi menularkan gambar tersebut.

“Kami telah mengambil keterangan anggota berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button