Berita Utama

Gagal bebaskan Palestin bukan alasan negara Arab ‘berundur’

Tunjukkan komitmen tinggi dukung cita-cita dan impian rakyat Palestin

BANGI, 3 Safar 1442H, Isnin – Kegagalan negara Arab membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis tidak boleh dijadikan alasan untuk negara itu berundur dari medan perjuangan.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Asmady Idris berkata, mereka perlu terus bersama-sama nekad dengan rakyat Palestin untuk berjuang.

“Negara Islam lain, terutama Turki dan Iran, selain Malaysia akan sentiasa berada pada pihak Palestin untuk memastikan nasib dan kemaslahatan mereka terbela.

“Hakikatnya, ia tugas berat untuk digapai memandangkan dunia Islam sudah tidak lagi berada di singgah sana pimpinan dunia.

“Namun, ia tidak seharusnya mematahkan semangat umat Islam untuk sentiasa beriltizam menunjukkan komitmen tinggi mendukung cita-cita dan impian rakyat Palestin,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Beliau menjelaskan secara fakta kekuatan Islam bukanlah semata-mata terletak pada institusi khalifah.

Jelasnya, punca utama kekuatan Islam terletak kepada ajaran Islam itu sendiri yang sentiasa berkembang melalui dakwah dan jika dapat dihayati serta dipraktiskan semula umat Islam, nescaya tidak mustahil dunia Islam akan kembali bergema.

“Punahnya, umat Islam kini tidak lagi menghayati inti pati ajaran Islam sebenar. Contoh paling tepat, perintah pentingnya bersatu dan mengukuhkan tali silaturahim. Ternyata apa jelas, umat Islam berbalah sesama sendiri.

“Malah, mereka sanggup menumpahkan darah seagama sendiri seperti yang berlaku di Asia Barat kini.

“Dalam perkataan lain, sebelum umat Islam menuding jari kepada pihak lain mengenai kelemahan, mereka wajib cermin diri sendiri terlebih dahulu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button