Berita UtamaDunia

India buka semula Taj Mahal meski kes COVID-19 tinggi

Hanya 5,000 pengunjung dibenarkan sehari sebagai langkah berjaga-jaga

AGRA, 3 Safar 1442H, Isnin – India membuka semula Taj Mahal kepada pengunjung mulai hari ini – meskipun jangkitan wabak COVID-19 di negara itu mengatasi Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. 

India yang menempatkan 1.3 bilion penduduk dan beberapa bandar paling padat di dunia, telah mencatatkan lebih daripada 5.4 juta kes COVID-19 – kira-kira 100,000 jangkitan baru dan lebih daripada 1,000 kematian setiap hari.

Selepas perintah berkurung yang ketat sejak Mac lalu – menyaksikan kehidupan 10 juta penduduk terjejas, Perdana Menteri Narendra Modi, tidak lagi mengikut jejak langkah beberapa negara yang mengetatkan aktiviti harian rakyat.

Sebaliknya, beberapa bulan kebelakangan ini, pemerintah melonggarkan lebih banyak sekatan termasuk laluan kereta api, penerbangan domestik, pasar, restoran – dan sekarang, mengunjungi Taj Mahal.

Makam marmar putih yang terkenal di dunia di bandar Agra di selatan New Delhi adalah tempat pelancongan paling popular di India. Ia biasanya menarik 7 juta pengunjung setahun, tetapi ditutup sejak Mac.

Pegawai berkata, apabila Taj Mahal dibuka, peraturan jarak sosial yang ketat akan dikenakan dan jumlah pengunjung harian akan dihadkan pada 5,000 – seperempat dari kadar biasa. Tiket hanya boleh dibeli secara dalam talian.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan tidak ada yang dapat masuk tanpa pemeriksaan,” kata Vasant Swarnkar, seorang ahli arkeologi kanan yang menjaga monumen Agra, kepada wartawan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button