‘Jangan kerana tampal doa, dah label sekolah kebangsaan islamik’
Masih ada pihak naif sistem pendidikan negara meski 63 tahun merdeka
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 3 Safar 1442H, Isnin – Jangan kerana doa bahasa Arab dan tulisan Jawi serta hari kebesaran Islam disambut, sudah melabelkan sekolah kebangsaan sebagai terlalu islamik.
Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang kesal kerana masih ada individu yang begitu naif dengan sistem pendidikan negara, walaupun Malaysia sudah lebih 60 tahun merdeka.
Beliau yang juga bekas pendidik turut kecewa kerana ada pihak yang mempertikaikan sistem pendidikan kebangsaan, bahkan membuat dakwaan tidak sepatutnya.
“Membuat andaian bahawa sekolah kebangsaan tidak memberi fokus kepada pendidikan atau silibus KPM, sebaliknya islamik sehingga mengabaikan mata pelajaran STEM adalah sangat dikesali sebagai warganegara Malaysia dalam era dunia digital ini.
“KPM telah menyediakan jumlah waktu (seminggu atau setahun) pembelajaran dan pengajaran yang mencukupi dan berpatutan untuk semua mata pelajaran teras, wajib dan elektif,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan tiga aktivis yang menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan, sebaliknya terlalu islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.
Kenyataan itu dibuat menerusi sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation yang diasaskan peguam dan aktivis, Siti Kasim.
Dalam debat itu, Arun Doraisamy, Phun Teck Seng dan Sam Saad berpandangan sama dan menyimpulkan bahawa sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding sekolah vernakular, yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.
Menyangkal tuduhan tiga aktivis berkenaan, Azizah yakin tiada pengabaian oleh mana-mana guru terhadap mata pelajaran elektif, terutama dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ini kerana, katanya, sekolah sentiasa dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga Kementerian Pendidikan (KPM).
“Inilah akibatnya jika rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini tidak diletakkan di dalam satu aliran sistem persekolahan.
“Wanita BERJASA meminta semua rakyat Malaysia menolak sekolah vernakular dan kembali yakin dengan sistem pendidikan Malaysia.
“… mesti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Rukun Negara sebagai tiang seri agar pembangunan jati diri watan terjamin,” katanya.