Berita Utama

Lapor polis jika ada maklumat kemasukan pendatang tanpa izin

Bimbang berlaku perkara tak diingini ketika pilihan raya negeri

LAHAD DATU, 3 Safar 1442H, Isnin – Polis meminta semua pihak yang mempunyai maklumat berhubung kemasukan pendatang tanpa izin atau sebarang bentuk ancaman anasir luar terhadap Sabah melalui daerah ini, agar segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, gesaan itu sebagai langkah kebersamaan komuniti dalam menangani jenayah rentas sempadan sekali gus mengekang penularan COVID-19 dari negara jiran.

“Kami juga risau berlaku perkara yang tidak diingini ketika pilihan raya negeri sebab itu masyarakat perlu melaporkan jika ada maklumat mengenai kemasukan pendatang haram,” katanya dalam kenyataan/

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali memaklumkan, pihaknya menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara jiran untuk membuat kekacauan pada pilihan raya negeri Sabah.

Sementara itu, Nasri mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau turut mengesahkan kawasan Segangan, Silabukan di sini dan sekitar merupakan kawasan berisiko tinggi dan berharap, langkah pencegahan dilaksanakan bagi memutuskan rantaian COVID-19. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button