Mohamaddin hina pengorbanan pasukan keselamatan
Kenyataan calon Warisan guris perasaan keluarga 10 anggota terkorban
BANGI, 3 Safar 1442H, Isnin – Bukan hanya tidak menghormati, bahkan kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi telah menghina pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak hanya kepada anggota terkorban, Mohamaddin juga menghina pasukan keselamatan seluruh negara, yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan Sabah.
Beliau berkata, kenyataan itu juga menghiris perasaan keluarga 10 anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
“Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya menafikan tuduhan fitnah mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu dan mengesahkan Ops Daulat adalah langkah terbaik kerajaan BN dalam menghadapi ancaman pengganas.
“Rakyat Sabah harus menolak calon-calon seperti ini,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, tular satu video ucapan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu yang mendakwa pencerobohan di Lahad Datu, kira-kira tujuh tahun lalu hanyalah sandiwara.
Dalam video berdurasi lebih satu minit itu juga, Mohamaddin turut seperti memperlekehkan insiden Tanduo.
Berdasarkan video ucapannya itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu juga menganggap anggota keselamatan bukan ‘berperang’ dengan pengganas, sebaliknya hanya berperang dengan ayam dan anjing.
Bagaimanapun, Mohamaddin dilaporkan memohon maaf kepada anggota keselamatan dan mendakwa ucapan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.
Katanya, beliau tidak berniat memperkecil atau menghina anggota keselamatan yang berjuang menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.
“Ketika memberikan ceramah, saya memberikan gambaran kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin.
“Seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya dan bukanhanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata dan saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan,” katanya.