Berita UtamaIstimewa

Mohamaddin, jangan menang bersorak kampung tergadai

Isu kedaulatan negara bukan bahan dagangan politik murahan

BANGI, 3 Safar 1442H, Isnin – Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya kesal dengan dakwaan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi kononnya pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara.

Beliau kesal apabila seorang bekas Menteri Pelancongan sanggup mengungkapkan kata-kata sebegitu, ibarat satu penghinaan.

“Dalam sebuah ucapan yang tular dan dilaporkan dalam berita, beliau menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing dalam peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu 2013 dulu.

“Lebih menyedihkan lagi, apabila beliau berkata begitu ketika berucap, kedengaran hadirin yang hadir bersorak dan bergelak ketawa pula. Ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi saya anggap sebagai satu perkara yang perlu dirisaukan kerana ada yang bersetuju dan menyokong kenyataan itu dengan penuh bersemangat.

“Inilah yang kita panggil sebagai para ‘pentaksub’ yang sentiasa bersorak pada apa jua yang diperkatakan oleh pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yakin anggota-anggota keselamatan akan tersinggung dengan dakwaan Mohamaddin itu terutamanya yang pernah terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, yang pasti paling tersinggung adalah keluarga anggota-anggota keselamatan yang telah terkorban dalam perjuangan mempertahankan Lahad Datu daripada penceroboh itu.

“Saya pasti, warga Sabah turut tersinggung akan kata-kata nista bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu kerana perjuangan mempertahankan Sabah daripada ancaman luar diperlekehkan.

“Lebih-lebih lagi ketika sekarang, ancaman dari pihak luar terhadap Sabah semakin kian terasa terutamanya isu pertikaian Laut China Selatan dan isu tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah.

“Sebab itulah saya katakan dalam ucapan Hari Malaysia saya baru-baru ini, agar rakyat Sabah memilih mereka yang benar-benar patriotik, cintakan negara dan paling penting yang mempunyai kesedaran bahawa kedaulatan Sabah perlu dipertahankan dari ancaman luar,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan semua pihak seharusnya cakna dan bersatu dalam isu yang membabitkan kedaulatan negara.

“Bayangkan, apa implikasinya jika pemimpin kawasan anda yang berjaya naik sebagai wakil rakyat, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, tidak peduli pun mengenai keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Lebih teruk lagi, jika kita tidak cakna, mungkin akan ada yang menjadi tali barut pula.

“Sepatutnya semua pihak bersatu padu dalam agenda dan isu yang melibatkan kedaulatan negara, bukannya menjadi bahan dagangan politik murahan kerana musuh di luar sentiasa memerhati. Jangan hanya menang bersorak, negara tergadai,” katanya.

Terdahulu, dalam satu video tular di media sosial, Mohamaddin kononnya mendakwa pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara bahkan seperti memperlekehkan insiden Tanduo.
.
Ia dipercayai ucapan beliau ketika berkempen sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau dikatakan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button