Uncategorized

Tak bertanggungjawab! ATM terkesan tuduhan Mohamaddin

87 tahun saksi banyak darah pengorbanan demi keamanan Malaysia

BANGI, 3 Safar 1442H, Isnin – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkesan dengan kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013, adalah sandiwara negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tuduhan anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga adalah tidak benar.

Beliau berkata, dakwaan itu memperlekehkan tugas dan tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika dahulu.

“Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali, di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban, baik ATM mahupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Adalah ditegaskan ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan Sri Affendi berkata, walau apa pun rintangan atau cabaran, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“ATM yang kini 87 tahun pada 16 September 2020, menyaksikan banyak darah pengorbanan dan keringat mereka terdahulu demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terpelihara.

“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini,” katanya.

Terdahulu, tular satu video ucapan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu yang mendakwa pencerobohan di Lahad Datu, kira-kira tujuh tahun lalu hanyalah sandiwara.

Dalam video berdurasi lebih satu minit itu juga, Mohamaddin turut seperti memperlekehkan insiden Tanduo.

Berdasarkan video ucapannya itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu juga menganggap anggota keselamatan bukan ‘berperang’ dengan pengganas, sebaliknya hanya berperang dengan ayam dan anjing.

Bagaimanapun, Mohamaddin dilaporkan memohon maaf kepada anggota keselamatan dan mendakwa ucapan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Katanya, beliau tidak berniat memperkecil atau menghina anggota keselamatan yang berjuang menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.

Justeru, Tan Sri Affendi mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak sesekali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.

“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia tanggungjawab bersama.

“ATM dengan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat akan terus dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan.

“Keupayaan ATM pada masa kini bukan sekadar berupaya mempertahankan kedaulatan negara, malah ATM juga berupaya untuk menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button