Berita Utama

Al-Sultan Abdullah sedang jalani rawatan di IJN: Istana Negara

Kesihatan tak membimbangkan, dijangka keluar waktu terdekat

KUALA LUMPUR, 4 Safar 1442H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun memaklumkan keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah adalah tidak membimbangkan dan Seri Paduka dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.

“Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN semalam, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan.

“Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi telah bergegas pulang hari ini, untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.

Beliau menjelaskan, Tunku Azizah telah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button