Guru Cina ajar Bahasa Melayu dalam Mandarin? Siasat segera!
Guru Cina didakwa lebih dengar nasihat NGO ultra kiasu daripada KPM

BANGI, 4 Safar 1442H, Selasa – Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu dipantau segera.
Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, jika dahulu subjek Bahasa Melayu diajar oleh guru-guru berbangsa Melayu dikenakan syarat perlu kredit subjek Bahasa Mandarin.
Namun, kini dakwanya, keadaan berubah apabila majoriti subjek Bahasa Melayu diajar oleh guru-guru Cina di SJKC.
“Adakah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ada membuat pemantauan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu oleh guru-guru Cina di SJKC?
“Saya diberitahu cara pengajaran dan pembelajaran sudah jauh berubah. Jika dahulu guru BM (Bahasa Melayu) akan masuk kelas bercakap BM ketika subjek itu diajar.
“Hari ini, keadaan tidak sebegitu lagi, di mana guru-guru Cina BM masuk sahaja kelas akan bercakap dan mengajar dalam bahasa Cina, murid-murid kena (dipaksa) untuk memahaminya dan menulis maknanya dalam bahasa Melayu,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Prof Ridhuan Tee berkata, keadaan itu menjadikan murid-murid Cina dan Melayu terpinga-terpinga, selain gagal untuk memahami dan menulis dalam Bahasa Melayu mengikut Bahasa Mandarin seperti yang dipertuturkan oleh guru-guru Cina yang mengajar subjek Bahasa Melayu.
Lebih teruk, katanya, majoriti murid-murid Cina termasuk mereka yang berbangsa Melayu tidak akan memahami subjek Bahasa Melayu, seterusnya mengalami kegagalan sehingga berada di Tahun Enam.
“Adakah sudah PPD maklum tentang perkara ini?” soalnya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya bimbang sekiranya terdapat muslihat di sebalik proses PdP di SJKC itu, yang turut akan memberi kesan kegagalan subjek Bahasa Melayu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di kalangan murid-murid berbangsa Melayu.
“…diikuti selepas itu, NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ultra kiasu akan mendesak kerajaan untuk menghapuskan kelas peralihan, yang dikhaskan untuk murid-murid Cina yang gagal BM, selama setahun, sebelum naik ke tingkatan satu?
“Kita harap PPD segera membuat penyiasatan dan pemantauan pengajaran dan pembelajaran BM oleh guru-guru bahasa Cina yang lebih mendengar nasihat daripada NGO ultra kiasu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu sendiri. Sedangkan semua perbelanjaan sekolah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh KPM.
“Amat malang sama sekali jika guru-guru SJKC lebih patuh kepada arahan NGO ultra kiasu daripada KPM itu sendiri. Paling saya risau nanti murid-murid Melayu di SJKC terikut-ikut dengan kata-kata, “bulung bulug telebang di angkaser,” katanya sinis.