Artikel Khas

BSD perlu ditolak, tak menepati kehendak Perlembagaan

Kedudukan Islam, Melayu, Raja termasuk dalam ciri asas - fundamental feature

RAMAI dari kalangan peguam dan bukan peguam telah bercakap mengenai doktrin struktur asas atau dalam bahasa Inggerisnya Basic Structure Doctrine (BSD). BSD adalah suatu konsep yang berasal dari India. Sebelum daripada ini para hakim di Malaysia menolak penggunaan doktrin asing bagi mentafsir Perlembagaan Persekutuan namun sejak kebelakangan ini penolakan tersebut telah menjadi kabur.

BSD yang cuba diterima dan diperkenalkan oleh Mahkamah Persekutuan sekarang ini mempunyai ciri-ciri berikut:

(i) Pendirian bahawa Perlembagaan kita mempunyai “basic structure” (struktur asas) yang ditentukan oleh Mahkamah dan tidak boleh dipinda oleh Parlimen.
(ii) Atas nama semak dan imbang, Mahkamah berkuasa menentukan sepenuhnya apakah skop stuktur asas (basic structure) tersebut.
(iii) Mana-mana undang-undang ataupun pindaan perlembagaan digubal oleh Parlimen, yang bertentangan dengan struktur asas (basic structure) ditentukan Mahkamah adalah tidak berpelembagaan, dan menjadi tidak sah.

Rencana ini ditulis bukan disebabkan penghakiman mahkamah yang membabitkan mana-mana ahli politik baru-baru ini tetapi merupakan pemerhatian saya mengenai BSD yang digunapakai oleh mahkamah di dalam beberapa kes sejak sebelum 2018 lagi seperti kes Semenyih Jaya, Indira Ghandi dan lain-lain.

Ramai yang sudah bercakap mengenai BSD tetapi tidak ramai yang berbincang mengenai ciri asas (fundamental features) Perlembagaan Persekutuan.

Asal BSD

Sebagaimana yang dinukilkan di atas, BSD ditemukan oleh hakim-hakim di India berdasarkan penghakiman yang dibuat oleh mereka. Saya tidak berhasrat menyebut satu-persatu penghakiman tersebut kerana ia bersifat agak teknikal dari sudut perundangannya.

Penelitian Tun Hamid tentang doktrin ‘Basic Structure’ di India yang saya petik melalui penulisan beliau adalah seperti berikut:-

Saya masih ingat saya pernah membaca satu artikel dalam majalah Time tujuh atau lapan tahun lalu mengenai Parlimen India. Saya menyimpan artikel itu, tetapi kerana pindah rumah dan keadaan saya sekarang, saya tidak dapat mengesannya. Artikel itu mendedahkan beberapa fakta yang tidak dapat dibayangkan mengenai ahli-ahli Parlimen India. Saya akan menceritakan hanya satu sahaja.

Pada masa artikel itu ditulis, 17 orang ahli Parlimen India telah disabitkan kerana kesalahan membunuh. Oleh kerana rayuan mereka masih belum selesai dan hukuman mereka digantung sehingga pelupusan terakhir oleh Mahkamah Agung, mereka bebas untuk bertanding dan menjadi ahli parlimen. Oleh sebab masa yang diambil untuk kes-kes itu diselesaikan adalah lebih kurang 30 tahun, tempoh itu adalah cukup panjang bagi kerjaya politik mereka!

Itulah keadaan di India pada masa itu yang menyebabkan hakim-hakim itu memberi penghakiman sedemikian. Walau bagaimana pun, jika ianya benar sekalipun, saya mengatakan bahawa itu bukanlah satu justifikasi bagi hakim-hakim untuk mengambil alih bidang kuasa badan perundangan’

Oleh itu jelas BSD di India adalah pertembungan antara badan kehakiman dan ahli politik yang telah disabitkan atas pelbagai kesalahan di India.

Di Malaysia pengimportan BSD dalam kes Indira Ghandi yang mana antara lain Mahkamah Persekutuan memutuskan walaupun terdapat Perkara 121(1A) yang menyetakan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa kepada perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi masih mempunyai kuasa kerana bidangkuasa kehakiman sedia ada mahkamah tinggi tidak boleh disekat walaupun dengan peruntukan perlembagaan.

Takrifan BSD

Apabila kita bercakap tentang BSD kita perlu faham tiga ciri BSD seperti yang telah saya sebut di awal tulisan ini. Bagi kemudahan saya ulangi di sini iaitu:-

i) Pendirian bahawa Perlembagaan kita mempunyai “basic structure” (struktur asas) yang ditentukan oleh Mahkamah dan tidak boleh dipinda oleh Parlimen.
(ii) Atas nama semak dan imbang, Mahkamah berkuasa menentukan sepenuhnya apakah skop stuktur asas (basic structure) tersebut.
(iii) Mana-mana undang-undang ataupun pindaan perlembagaan digubal oleh Parlimen, yang bertentangan dengan struktur asas (basic structure) ditentukan Mahkamah adalah tidak berpelembagaan, dan menjadi tidak sah.

Oleh hal yang demikian, apabila kita bercakap tentang BSD samada menyokong atau membantah tiga faktor di atas hendaklah menjadi pertimbangannya. Kita tidak seharusnya membawa pengertian lain tentang BSD mengikut acuan sendiri kerana ciri BSD yang maksudkan Mahkamah adalah sebagaimana yang dijelaskan di atas.

Penggunaan istilah yang sama bagi merujuk kepada perkara lain mungkin akan mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat dalam memahami serta menilai keboleh terimaan BSD di dalam perundangan Malaysia.

Analisa di Malaysia

Tiada dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukan yang menyatakan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang tidak boleh dipinda. Dengan alasan ini sahaja ciri pertama BSD dinafikan.

Jika kita lihat Perlembagaan Jerman, terdapat peruntukan yang jelas menyatakan beberapa perkara di dalam Perlembagaan Jerman yang tidak boleh dipinda sama-sekali berbeza dengan ketiadaan peruntukan yang sama dalam Perlembagaan Persekutuan di Malaysia.

Namun menilai dari sudut objektif Perlembagaan, sejarah dan ‘grundnorm of the society’ terdapat ciri-ciri asas (fundamental features) Perlembagaan Persekutuan yang mana ia masih boleh dipinda tetapi disukarkan dengan prosedur antaranya memerlukan persetujuan dua pertiga ahli Parlimen dan pekenan Raja-Raja Melayu seperti :

Pada pandangan saya perkara-perkara tersebut adalah ciri asas (fundamental features) kepada Perlembagaan Persekutuan bukan BSD. Mahkamah tidak boleh mengatasi kehendak rakyat kerana pada masa ini demokrasi adalah alat yang digunakan untuk menilai kehendak rakyat. Malah timbul persoalan pula siapakah yang akan melaksanakan semak dan imbang terhadap keputusan mahkamah. Hal ini akan menjadikan mahkamah mengatasi badan-badan lain (judicial supremacy).

Malah di dalam Perlembagaan Persekutuan juga terdapat pelbagai asas yang meletakkan kepentingan hidup beragama yang menjadi paksi atau tiang seri kepada negara. Pasak ini diperkukuhkan umpamanya dengan kedudukan tinggi agama Islam di mana terdapat banyak peruntukan yang memberi keistimewaan kepada agama Islam termasuklah sumpah Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki takhta dengan menggunakan sumpah berlandas syariah menggunakan nama Allah memelihara agama Islam dan pemerintahan yang adil.

Dalam konteks mahkamah juga (samada sivil atau syariah) kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan yang adil tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana badan lain termasuk eksekutif dan legislatif. Hal ini juga merupakan ciri asas kepada Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip pengasingan kuasa antara tiga badan utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman juga adalah ciri asas yang dizahirkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketiga-tiga badan ini mempunyai fungsinya yang tersendiri dan tidak boleh mencampuri urusan badan lain. Umpamanya pihak eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman begitu juga sebaliknya. BSD yang saya lihat akan menjadikan kehakiman lebih tinggi dari eksekutif dan legislatif. Malah ia menjadi lebih tinggi dari Perlembagaan Persekutuan.

Perbezaan antara BSD dan Ciri Asas (Fundamental Features)

Perbezaan asas yang utama antara BSD dan ciri asas ialah BSD mempelopori anutan terdapat peruntukan Perlembagaan yang tidak boleh dipinda dan mahkamah yang berkuasa menentukannya. Manakala mengikut kaedah ciri asas (fundamental features) kesemua peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda melalui tahap kesukaran yang berbeza prosedurnya.

Ciri asas atau fundamental features boleh diperolehi dari sejarah Perlembagaan itu sendiri, objektif dan nilai yang ingin dibawa oleh Perlembagaan dan kehendak masyarakat ketika menggubal Perlembagaan. Oleh itu tidak sukar bagi kita mengenalpasti ciri asas Perlembagaan itu.

Pada pandangan saya kedudukan Islam, Melayu Raja adalah termasuk dalam ciri asas (fundamental feature) bukan BSD. Bukanlah saya mengajak untuk meminda peruntukan ini tetapi Perlembagaan tidak mengecualikannya dari pindaan.

Kebebasan Kehakiman, bidangkuasa asal mahkamah (inherent jurisdictions of the court, civil and shariah) juga adalah termasuk dalam fundamental features bukan BSD.

Tiada BSD di Malaysia kerana semua perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda melalui tahap kesukaran yang berbeza.

Nilai-nilai tradisional yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kepada ‘grundnorms’ masyarakat perlulah dihormati. Ia hanya boleh dipinda dalam tahap kesukaran yang tinggi. ‘Grundnorms’ masyarakat ini pula boleh berubah mengikut peredaran masa dan masyarakat.

Mungkin secara teori atau ideal, ada yang mahu perkara-perkara tertentu tidak boleh dipinda tetapi secara praktikal ia masih boleh dipinda melalui kaedah tertentu. BSD yang difahami oleh sebahagian dari kita pula sebenarnya berlainan dari apa yang telah ditentukan oleh mahkamah setakat ini. Mahkamahlah (dan bukan rakyat) yang menentukan apa yang terjumlah di dalam BSD itu.

Hanya Al Quran yang tidak boleh dipinda.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada ketiadaan peruntukan yang jelas memberi kuasa kepada mahkamah dalam perkara BSD ini saya berpandangan BSD tidak menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan perlu ditolak. Kuasa sesebuah mahkamah lazimnya hendaklah jelas dan tersurat, kuasa tidak boleh dimiliki secara tersirat. Oleh itu punca kuasa BSD ini kepada mahkamah tidaklah secara tersurat ataupun jelas diperuntukkan seperti yang terdapat di dalam Perlembagaan Jerman umpamanya.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri asas (fundamental features) yang perlu dipertahankan di dalam Perlembagaan seperti kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain, kebebasan kehakiman dan lain-lain yang membentuk jatidiri negara. Walaupun ia boleh dipinda kesukaran memindanya dengan pelbagai syarat yang ketat akan menjadikan usaha memindanya tidak berhasil.

Apapun pandangan yang saya garap di atas ia merupakan pandangan peribadi saya sendiri. Saya akur badan yang paling berotoritatif mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan adalah Mahkamah Persekutuan sendiri. Pandangan ini melontar idea kenapa perlu ditolak BSD dalam sistem perundangan kita sahaja.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
14 September 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button