Berita UtamaPendapat

Kenapa ‘Rasul Melayu’ masih aktif?

Penyebaran doktrin sesat mudah berlaku melalui teknologi

1. SEMALAM Berita Harian melaporkan penangkapan Abdul Kahar bin Ahmad, lelaki yang mengakui dirinya sebagai “Rasul Melayu.”

Beliau sebelum ini pernah mendakwa bahawa surah Yasin diturunkan kepadanya dan Allah SWT melantiknya sebagai rasul melalui surah ini.

2. Walaupun telah difatwakan sesat (pada tahun 1991), dipenjara (10 tahun) dan dikenakan denda (RM16,000), semua ini tidak menghentikan beliau dari menyebarkan doktrin sesat ini.

Bahkan dia ditangkap bersama dengan beberapa pengikutnya semalam.

3. Timbul persoalan di sini apakah yang menyebabkan ajaran ini kembali aktif dan diterima?

Hakikat pertama yang perlu kita sedar ialah kewujudan jiwa-jiwa yang kosong yang memerlukan pengisian.

Ia adalah titik muhasabah buat kita agar terus-menerus menyampaikan dakwah dan mesej yang benar kepada manusia.

4. Biarpun ajaran ini telah jelas sesat, seseorang masih boleh terpengaruh dengan kata-kata dan dakyah bisikan keraguan syaitan.

Atas dasar itu jiwa manusia sentiasa perlu dibasahi dengan ilmu dan ajaran al-Quran yang benar berdasarkan bimbingan Rasulullah SAW.

Membiarkan jiwa tidak dipandu dengan ilmu berupaya membuatkan seseorang terpengaruh dengan ajaran menyeleweng.

5. Kedua, barangkali juga Haji Kahar ini memberikan penghujahan mengelirukan akal sehingga berjaya memperdaya jiwa dan pemikiran manusia.

Begitu jugalah modus operandi gerakan liberal yang mengelirukan rasional manusia sehingga mereka mempertikaikan panduan dari sunnah Rasulullah SAW.

6. Ketiga, penggunaan teknologi moden dalam penyampaian mesej. Perhatikan laporan Harian Metro bagaimana kumpulan ini mewujudkan satu kumpulan WhatsApp dan Facebook untuk menyebarkan ajaran mereka.

Melalui teknologi terkini, penyebaran doktrin ini lebih mudah berlaku. Dengan itu kawallah anak-anak kita supaya mereka tidak mudah terpengaruh melalui ajaran sesat media sosial.

7. Keempat, keperluan kepada prinsip Amar Makruf dan Nahi Mungkar.

Allah SWT telah menjelaskan banyak kali dalam al-Quran bahawa umat ini akan sentiasa menjadi umat yang terbaik sekiranya prinsip Amar Makruf dan Nahi Mungkar dilaksanakan.

8. Andai kita terdengar atau terdapat perbuatan mungkar, segera laporkan kepada pihak berkuasa.

Tindakan kita berupaya menjadi ejen yang menyumbang ke arah pembanguan ummah yang lebih sejahtera.

9. Jangan pula kita menjadi seperti liberal yang beria-ia mempertahankan hak kebebasan manusia sehingga mereka membiarkan kerosakan pemikiran ini berlaku atas nama hak asasi kemanusiaan atau hak kebebasan peribadi (atau pernah dipanggil sebagai private sphere dahulu).

Semoga Alllah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button