Lagi kes pemandu mabuk, kali ini bunuh pelajar sekolah
Pelatih anjing direman empat hari untuk bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 4 Safar 1442H, Selasa – Seorang pemandu mabuk melanggar pelajar Tingkatan Lima yang sedang menunggang motosikal di Jalan Raja Laut hingga menyebabkan korban nyawa, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas Myvi dari susur Jalan Sri Amar, Chow Kit mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam di laluan itu.
“Pada masa sama penunggang motosikal yang bergerak lurus di Jalan Raja Laut gagal mengelak dan melanggar pintu sisi depan bahagian kiri Myvi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, mangsa, Muhammad Hazeq Hakimi Romli, 17, yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mendapati kandungan alkohol dalam darah pemandu Myvi itu melebihi had yang dibenarkan.
“Pemandu Myvi diarahkan menjalani ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) dan didapati paras alkohol dalam tubuhnya melebihi paras dibenarkan.
“Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pelatih anjing itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.