Berita Utama

Mohamaddin tidak bijak perlekeh insiden Lahad Datu: BERJASA

Cukuplah berkempen isu keselamatan negara sebagai bahan tawa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Safar 1442H, Selasa – Kenyataan Calon Segama dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 sebagai satu sandiwara, selain menjadikan ia bahan kempen pilihan raya adalah satu tindakan yang amat tidak bijak.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, mana-mana ahli politik tidak wajar untuk menjadikan kes pencerobohan tersebut sebagai tarikan kempen demi keuntungan partinya. 

Pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 adalah pencerobohan ke atas keselamatan negara.

Tragedi berdarah itu berlaku apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo pada 12 Februari 2013.

Seramai 10 anggota pasukan keselamatan dilaporkan terkorban dalam insiden itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Mohammadin semasa berucap dalam kempen untuk calon Warisan, menyifatkan tragedi itu sebagai sandiwara dan mendakwa ia berlaku apabila kononnya UMNO akan kalah kepada PKR.

Membidas kenyataan itu, Ustaz Zamani berkata, tindakan Mohamaddin mengambil sikap untung rugi kepada parti sehingga menghina anggota keselamatan negara, bukan menggambarkan seorang pemimpin sebenar. 

“Seorang pemimpin yang berwibawa mestilah memberikan keyakinan yang jelas serta berwawasan. Idea-idea yang dilontarkan mestilah suatu yang dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada semua rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

“Cukup-cukuplah berkempen dengan menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan tawa kembalilah kepada bentuk kempen yang sihat, berwibawa dan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani berkata, negara ini memerlukan pemimpin yang mampu memacu negara bukannya tandus idea.

Beliau menegaskan, tidak ada mana-mana parti sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang boleh memperlekehkan tindakan yang diambil demi menjaga negara dari dicerobohi.

“Sepatutnya semua rakyat, pimpinan semua parti di negara ini meletakkan kedaulatan negara menjadi keutamaan agenda bersama.

“Untuk membangunkan watan berdaulat, tidak ada yang lebih utama untuk dijaga bersama melainkan kedaulatan negara,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button