Berita Utama

Mohammadin celupar! PDRM perlu ambil tindakan tegas

‘Isu Asri Burger tegur bab solat bukan main melantun, hina ATM takkan senyap sahaja?’

BANGI, 4 Safar 1442H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas ke atas calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 sebagai sandiwara negara.

Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Ustaz Masridzi Sat menyifatkan pemimpin bermulut celupar itu perlu dipanggil, disiasat serta didakwa.

“Jangan Asri Burger tegur bab solat bukan main ‘melantun’ lagi tapi bila ada yang hina ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan PDRM serta rakan-rakan yang terkorban berjuang di Sabah, senyap je,” katanya sinis.

Terdahulu, tular satu video ucapan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu yang mendakwa pencerobohan di Lahad Datu, kira-kira tujuh tahun lalu hanyalah sandiwara.

Dalam video berdurasi lebih satu minit itu juga memperlihatkan Mohamaddin turut seperti memperlekehkan insiden Tanduo.

Berdasarkan video ucapannya itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu juga menganggap anggota keselamatan bukan ‘berperang’ dengan pengganas, sebaliknya hanya berperang dengan ayam dan anjing.

Bagaimanapun, Mohamaddin dilaporkan memohon maaf kepada anggota keselamatan dan mendakwa ucapan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Katanya, beliau tidak berniat memperkecil atau menghina anggota keselamatan yang berjuang menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button