Berita Utama

Pencemaran Sg Gong: 5 lelaki dibenar ikat jamin RM400,000

Diperintah serah pasport masing-masing kepada mahkamah

SHAH ALAM, 4 Safar 1442H, Selasa – Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik – Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel berkenaan, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Beliau turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan memberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jamin itu.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti keseriusan kesalahan dihadapi kesemua tertuduh selain faktor kesihatan mereka serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.

“Ini adalah kes serius yabng mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua yang tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 tiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan kesemua tertuduh perlu serahkan pasport kepada mahkamah, dan jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan tarik balik jaminan,” katanya.

Kesemua tertuduh pada 17 September lepas, memfailkan semakan terhadap keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Syafeera Mohd Said.

Pada 15 Sept lepas, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button