Berita Utama

Portal Mandarin: MCA antinasional sokong tindakan SPRM

MCA belakangi bahasa kebangsaan sebagai agen perpaduan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Safar 1442H, Selasa – MCA bersikap antinasional apabila menyokong kewujudan portal bahasa Mandarin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, pendirian itu membelakangi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bertindak sebagai agen perpaduan.

“Malah menurut Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu bahawa semua urusan rasmi kerajaan hendaklah dilaksanakan dalam bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Jurucakap Pemuda MCA, Alex Fong berkata, pelancaran portal bahasa Cina SPRM tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai perbuatan yang membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sebaliknya ia patut dilihat sebagai semangat kepelbagaian dan toleransi di Malaysia.

Beliau tidak bersetuju dengan alasan dikemukakan oleh ARMADA dan beberapa organisasi lain yang menentang pelancaran portal bahasa Mandarin itu seraya berkata, ia langsung tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak sepatutnya melihat perkara ini dengan pandangan yang sempit kerana kepelbagaian adalah keunikan Malaysia dan kita patut berbangga dengannya, bukan sengaja mencari kesalahan darinya,” kata Alex Fong.

Beliau bahkan berkata, portal bahasa Cina tidak akan memecahbelahkan rakyat dan tidak akan menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sebaliknya akan meluaskan jangkauan kepada rakyat dari pelbagai kelas sosial dalam usaha mereka menyebarkan informasi anti rasuah.

Alex turut mencadangkan agar jabatan kerajaan yang lain menggunakan bahasa etnik minoriti lain seperti bahasa Tamil seiring dengan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi menzahirkan keunikan kepelbagaian yang wujud di negara kita.

“Pelangi nampak indah kerana ia tidak membezakan warnanya; jika mempertahankan sesuatu hanya atas dasar mempertahankan sehingga membataskan kepelbagaian dengan alasan tidak munasabah, ia akan menyebabkan negara kita kehilangan ciri kepelbagaian yang unik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button