Berita Utama

PRN Sabah tak perlu tangguh, keadaan masih terkawal

KKM jalin kerjasama dengan agensi lain pastikan semua lancar

PUTRAJAYA, 4 Safar 1442H, Selasa – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak perlu ditangguh dan boleh diteruskan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, antaranya mewajibkan pengundi bergejala dan menjalani kuarantin mendapatkan kebenaran Pejabat Kesihatan Daerah terlebih dahulu untuk mengundi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mengulas kebimbangan orang ramai mengenai PRN Sabah kerana negeri itu mencatat peningkatan mendadak kes positif COVID-19, berkata keadaan masih terkawal.

“Kami bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar selain mengambil langkah mempertingkat pengesanan kes terutama di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“Keadaan adalah terkawal dan Kementerian Kesihatan optimis mampu mengekang penularan COVID-19 serta menangani keadaan secara keseluruhan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata kebenaran untuk keluar mengundi tertakluk kepada jarak antara lokasi pusat mengundi dan tempat tinggal mereka.

“Kes yang terdedah kepada kes positif, mereka boleh diberikan masa dan ruang untuk melaksanakan kewajipan mengundi tertakluk kepada pusat mengundi.

“Kalau pusat mengundi dekat, tiada masalah tetapi kalau pusat mengundi jauh atau kena naik kapal terbang dan sebagainya, jadi ada isu.

“Apa yang kita ingin lihat kalau pusat mengundi dengan (tempat tinggal) mereka adalah dekat, kita boleh beri mereka pelepasan untuk mereka mengundi, tetapi mereka kena mohon untuk mengundi. Kita kena dimaklumkan,” katanya.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata pengundi yang positif COVID-19 tidak akan dibenarkan keluar mengundi dan hospital tidak boleh dijadikan pusat mengundi.

“Kalau kita nak laksana undian dalam hospital, hospital tu kena diwartakan tapi setakat ini, hospital tak diwartakan sebagai pusat mengundi,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjalankan aktiviti kawalan kesihatan awam dan menambah baik kesiapsiagaan bagi mendepani peningkatan kes di Sabah.

Antaranya, KKM mempergiat saringan kontak rapat kes positif COVID-19 serta saringan bersasar, menambah katil bagi kes positif di Hospital Lahad Datu, Hospital Tawau dan Hospital Kunak selain menyediakan beberapa lokasi sebagai pusat kuarantin untuk menempatkan pesakit dalam siasatan.

Ditanya mengenai mereka yang pulang dari Sabah, Dr Noor Hisham berkata individu bergejala diwajibkan menjalani ujian COVID-19 manakala yang tidak bergejala digalakkan menjalani ujian itu atas inisiatif sendiri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button