Siasat segera guru ajar subjek BM guna bahasa Mandarin
Pendidik sebegini angkuh, patutnya tunjuk contoh baik kepada murid

BANGI, 4 Safar 1442H, Selasa – Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim menggesa siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan bahawa subjek Bahasa Melayu diajar dalam bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Beliau berkata, jika dakwaan ini benar, ia adalah satu penghinaan terhadap bahasa kebangsaan.
“Keadaan ini juga menunjukkan sikap angkuh seorang pendidik yang sepatutnya menjadi contoh buat semua anak muridnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mendakwa projek pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk subjek Bahasa Melayu di SJKC diajar oleh guru-guru Cina.
Katanya, guru-guru tersebut bertutur dan mengajar dalam bahasa Mandarin, sementara murid-murid (dipaksa) untuk memahaminya dan menulis maknanya dalam bahasa Melayu.
Prof Ridhuan Tee berkata, keadaan itu menjadikan murid-murid Cina dan Melayu terpinga-terpinga, selain gagal untuk memahami dan menulis dalam Bahasa Melayu mengikut Bahasa Mandarin seperti yang dipertuturkan oleh guru-guru Cina yang mengajar subjek Bahasa Melayu.
Keadaan ini turut menyebabkan majoriti murid-murid Cina termasuk mereka yang berbangsa Melayu tidak akan memahami subjek Bahasa Melayu, seterusnya mengalami kegagalan sehingga berada di Tahun Enam.