Berita Utama

Bubar Parlimen, serah mandat kepada rakyat

Anwar perlu beritahu jumlah Ahli Parlimen yang menyokong, rakyat nak tahu

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran membubarkan Parlimen supaya rakyat dapat menilai semula Ahli Parlimen – layak atau tidak untuk menjadi pemimpin setelah dua kerajaan jatuh dalam masa yang singkat.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir menegaskan bahawa negara memerlukan kerajaan yang kukuh melalui mandat dari rakyat.

“Jika kerajaan diteruskan sebagaimana sekarang, Ahli Parlimen masih Ahli Parlimen yang sama cuma berlaku lompat-melompat untuk mencari kedudukan.

“Mereka bukan lagi menjalankan amanah sebagaimana asal tetapi lebih mencari kedudukan dalam mana-mana parti asal dapat kedudukan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Sharipudin yang juga Ketua Perhubungan ISMA Kelantan meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen sekiranya benar mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

“Perlu sahkan jumlah yang betul. Kalau dulu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan angka yang jelas dari Ahli Parlimen, maka Anwar perlu ikut SOP yang sama. Bagaimanapun Perdana Menteri masih lagi Perdana Menteri dan berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubar parlimen.

“Lebih baik Yang di-Pertuan Agong bubar Parlimen dan serahkan mandat kepada rakyat menentukan setelah dua kali berlaku kerajaan jatuh dalam tempoh yang singkat,” saran beliau.

Anwar hari ini mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, namun ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button