Berita Utama

72 laporan polis terhadap Mohamaddin

Hantar USJT bantu IPK Sabah, ramai saksi akan dipanggil ambil keterangan

KUALA LUMPUR, 5 Safar 1442H, Rabu – Setakat ini polis sudah menerima 72 laporan di seluruh negara berhubung kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 adalah sandiwara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan kes berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membantu siasatan.

“Kami telah hantar USJT untuk membantu IPK Sabah dan ramai saksi kes ini akan dipanggil untuk ambil keterangan kes berkenaan,” katanya.

Mengulas kenyataan Mohamaddin, Acryl Sani berkata, dakwaan bekas menteri itu telah mengguris hati semua pihak yang terlibat dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.

“Saya tidak mahu komen banyak (kenyataan Mohamaddin) tetapi yang penting kami menjalankan siasatan kes itu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, dalam satu video tular di media sosial, Mohamaddin kononnya mendakwa pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara bahkan seperti memperlekehkan insiden Tanduo.
.
Ia dipercayai ucapan beliau ketika berkempen sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau dikatakan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Bagaimanapun, Mohamaddin dilaporkan memohon maaf kepada anggota keselamatan dan mendakwa ucapan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Katanya, beliau tidak berniat memperkecil atau menghina anggota keselamatan yang berjuang menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.

“Ketika memberikan ceramah, saya memberikan gambaran kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin.

“Seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya dan bukanhanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata dan saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button