Berita Utama

Ahli Parlimen khianat mandat rakyat jika dakwaan Anwar benar

Isu lompat parti tak akan berakhir selagi ‘warlord’ diagungkan

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Rakyat memerlukan muka-muka baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen yang telah mengkhianati mereka.

Demikian kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), kata Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Terdahulu, Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun tidak mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Dakwanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ustaz Hazizi berkata, jika benar dakwaan Anwar mempunyai majoriti, bermakna Ahli Parlimen sedia ada sudah mengkhianati rakyat, melompat ke sana sini tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

“Sehubungan itu, kita perlu muka-muka baharu untuk menggantikan mereka. Senarai calon UMNO yang paling diragui, kerana sejak dahulu lagi, fenomena lompat melompat ini terkenal dalam kalangan muka-muka yang pernah menjadi Ahli Parlimen UMNO.

“Namun muka-muka ini terjamin pencalonannya, kerana kuasa berbuat demikian ada pada presiden parti, bukan pada rakyat.

“Rakyat hanya ada pilihan mengundi sahaja calon yang ditentukan oleh presiden, atas nama muafakat, yang membawa rebah bila-bila masa, kerana ketamakan akan menyebabkan mereka melompat bila-bila masa,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau yakin situasi ini tidak akan berakhir selagi ‘warlord’ masih dipersadakan.

“Kita kena keluar daripada sistem ‘warlord’ ini, yang di belakangnya ada kuasa kapitalis, dan kita tahu kaum kapitalis di negara ini. Keluar, dengan memilih parti bernafas baharu, BERJASA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button