Berita UtamaIstimewa

Anwar terdesak, jangan percaya!

Sekarang bukan masa rebut kuasa, patut fokus agenda rakyat

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu, hanya menonjolkan tindakan terdesak Presiden PKR itu.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhulhisham Abd Aziz berkata, Anwar mengambil langkah tidak rasional apabila mendakwa mendapat majoriti meyakinkan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak boleh percaya kerana langsung (Anwar) tidak menyatakan jumlah sokongan yang diperoleh.

“Dan kita tahu dalam keadaan negara sekarang ini, perkara yang dibuat itu walaupun (Anwar) kata bukan pintu belakang, tetapi ia sama juga dengan yang lepas,” katanya.

Anwar hari ini mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, namun ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Mengulas perkara itu, Dr Badhulhisham berkata, sidang media Anwar hanyalah pengumuman biasa dan tidak boleh dipercayai selagi belum ada sebarang kenyataan daripada istana atau pihak rasmi.

Katanya, sekarang adalah bukan waktu sesuai untuk mana-mana pihak berebut kuasa, dan sepatutnya fokus kepada agenda rakyat serta pemulihan ekonomi neegara.

“Ini yang kita kesalkan apabila ahli politik mengambil kesempatan daripada situasi haru-biru politik negara untuk mendapatkan habuan.

“Sekarang patutnya fikirkan agenda rakyat, bagaimana nak putuskan rantaian COVID-19 dan cara memulihkan ekonomi negara.

“Banyak perkara penting lagi daripada berfikir untuk berebut kuasa. Malangnya mereka tiada agenda untuk membawa perubahan kepada rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button